PERTANIAN 2

1.0    PENGENALAN

          Dasawarsa ini, pembangunan dan perkembangan yang pesat membangun di negara kita membolehkan rakyatnya mengecap keharmonian, keamanan dan kesejahteraan hidup. Umum mengetahui bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang kemakmuran ekonominya berasaskan sektor pertanian. Sebagai sebuah sektor yang utama, sektor pertanian telah memainkan peranan yang penting dalam pertumbuhan dan kemajuan ekonomi negara ini.
          Menurut wikipedia ensiklopedia bebas, pertanian ialah pengeluaran makanan dan barangan melalui perdagangan, penternakan dan perhutanan. Ia merupakan perkembangan utama yang membawa kepada kebangkitan tamadun, dengan penanaman dan penternakan mewujudkan lebihan makanan dan seterusnya membolehkan pembangunan masyarakat yang lebih padat dan berstrata.
          Mengikut sejarah, pertanian ini bermula kira-kira 10,000 tahun yang lalu dan memainkan peranan yang utama dalam sejarah manusia kerana kemajuan pertanian merupakan salah satu faktor yang terpenting dalam perubahan sosioekonomi diseluruh dunia.Oleh yang demikian, sektor pertanian ini adalah sangat dinamik dan mempunyai potensi yang baik untuk masa depan negara.

          Bagaimanapun, terdapat juga masalah yang timbul yang perlu dipertimbangkan dalam mentransformasikan sektor ini untuk masa akan datang.Justeru itu, kerajaan mengambil inisiatif dalam membangunkan bidang pertanian untuk dijadikan bidang perniagaan agar dapat meningkatkan taraf hidup rakyat dan sekali gus membantu meningkatkan pendapatan negara.
          Terdapat dua komponen utama sektor pertanian adalah tanaman makanan dan tanaman untuk industri. Tanaman makanan adalah seperti padi, lembu daging dan lembu tenusu, ikan, sayur-sayuran, buah-buahan dan pengeluaran daging, telur ayam dan itik. Manakala bagi tanaman untuk industri pula adalah seperti getah, kelapa sawit, koko, kelapa, lada hitam dan tembakau. Hasil pertanian ini bukan sahaja diguna pakai dalam Malaysia, malah dieksport ke luar negara bagi tujuan memenuhi permintaan keperluan penduduk di sesebuah negara.
             Pada 12 Januari 1984, Kerajaan telah memperkenalkan Dasar Pertanian Negara sebagai satu garis panduan untuk membantu kerajaan dan sektor swasta membangunkan dan menggiatkanbidang pertanian. Antara matlamat atau objektif dasar ini adalah untuk memaksimumkan pendapatan bidang pertanian menerusi penggemblengan sumber-sumber negara secara cekap dan berkesan supaya sumbangan bidang pertanian kepada pertumbuhan ekonomi negara dapat dipertingkatkan.
          Selain itu, kerajaan juga berusaha untuk memaksimumkan pendapatan pekebun kecil menerusi peningkatan daya pengeluaran supaya kadar kemiskinan dapat dikurangkan dan kualiti hidup rakyat petani dapat diperbaiki. Di bawah dasar ini juga, kerajaanmenyasarkan untuk memajukan dan meningkatkan hasil dan mutu barangan eksport, komoditi yang mempunyai potensi besar untuk eksport atau bahan gentian import serta komoditi terpilih bagi bahan makanan dan perindustrian.Sehubungan itu, Kerajaan telah memperkenalkan dan memperkukuhkan strategi-strategi yang sedia ada dan yang utama untuk mencapai matlamat Dasar PertanianNegara ini.
2.0    KEPENTINGAN BIDANG PERTANIAN
          Menyedari kepentingan bidang pertanian, kerajaan turut memberikan tumpuan utama kepada bidang ini dengan menyenaraikan bidang pertanian di dalam Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (National Key Economic Area) (NKEA) di bawah Program Transformasi Ekonomi Malaysia (Economic Transformation Programme) (ETP).
          NKEA Pertanian memberi fokus kepada sub-sektor yang mempunyai potensi pertumbuhan yang tinggi seperti akuakultur, pertanian rumpai laut, sarang burung walit, produk herba, buah-buahan, sayur-sayuran serta makanan di proses premium. Perlaksanaan ini akan membolehkan Malaysia menembusi pasaran global bernilai tinggi yang sedang pesat membangun pada masa ini.
          Selain itu, NKEA Pertanian juga telah mewujudkan peluang pekerjaan baru sebanyak 75,000, sekali gus boleh menyelesaikan atau mengurangkan masalah pengangguran rakyat Malaysia khususnya penduduk yang berada di luar bandar. Ini kerana kadar kemiskinan bagi penduduk di luar bandar dan di kawasan pendalaman agak membimbangkan ekoran kurang peluang pekerjaan dan pendedahan yang sewajarnya seperti contoh, mereka mempunyai tanah yang luas untuk diusahakan tetapi mereka tiada modal atau sumber yang boleh membantu mereka.
          Oleh yang demikian, kerajaan seharusnya memainkan peranan dan menyalurkan bantuan dengan membangunkan bidang pertanian di kawasan berkenaan sekali gus akan menyumbang peluang pekerjaan kepada mereka.Tambahan pula peluang pekerjaan yang ada tidak memerlukan kelulusan yang tinggi berbanding kerja profesional dan separuh profesional.


          Seperti yang kita sedia maklum, bidang pertanian juga mampu menjana pendapatan yang besar kepada negara dan juga petani. Hal ini kerana, Malaysia memiliki iklim dan tanah yang baik jika diusahakan dan dibangunkan dengan teratur dan sistematik. Kebanyakan bahan makanan asas seperti beras, koko, kopi dan bijirin yang lain amat sesuai ditanam di negara ini. Hasil pertanian ini juga boleh dieksport ke negara-negara luar dan cara ini boleh menggalakkan pengaliran wang masuk serta dapat mengurangkan kebergantungan terhadap pengimportan bahan makanan daripada negara lain jika keperluan dalaman rakyat Malaysia adalah mencukupi.
          Bagi tanaman komersial pula, pengeksportan tanaman seperti kelapa sawit dan lada hitam akan menambahkan dan meningkatkan lagi pendapatan negara. Mengikut Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bidang pertanian di Malaysia meningkat daripada RM21,206 juta pada suku kedua tahun 2016 kepada RM25,069 juta pada suku ketiga tahun yang sama. Jika situasi ini kekal dan berterusan, negara Malaysia akan terus membangun dan bakal menjadi negara yang maju dalam bidang pertanian seiring dengan negara-negara barat yang lain.

          Selain itu, bidang pertanian juga menyumbang kepada sumber pengeluaran bahan makanan yang utama untuk keperluan harian penduduk di Malaysia. Ini kerana Malaysia adalah salah sebuah negara yang menjadikan beras sebagai makanan ruji di negara ini. Berikutan itu kerajaan mengambil inisiatif mengesyorkan petani menanam dan menghasilkan padi dua kali setahun untuk menampung permintaan rakyat Malaysia. Selain mengurangkan import beras daripada negara luar, perbelanjaan kerajaan juga dapat dikurangkan dan sekali gus dapat menjimatkan pertukaran mata wang asing.
          Umum seharusnya mengetahui bahawa bidang pertanian ini mampu dan berpotensi mengembangkan industri desa pada hari ini. Hal ini jelas terbukti apabila wujudnya penubuhan industri kecil sederhana (IKS) yang telah dibangunkan oleh kerajaan dalam usaha dan membentuk penduduk di kawasan luar bandar untuk meningkatkan taraf hidup dan pendapatan mereka.
3.0    POTENSI BIDANG PERTANIAN SEBAGAI PERNIAGAAN YANG MENGUNTUNGKAN
          Selepas Merdeka, Malaysia terkenal sebagai sebuah negara pertanian kerana aktiviti ekonomi pada masa itu bergantung kepada bidang pertanian dan perlombongan. Sehingga kini bidang pertanian berpotensi sebagai perniagaan yang menguntungkan dan menyumbang kepada pendapatan yang lumayan kepada sesiapa sahaja yang mengusahakan atau menceburkan diri dalam bidang ini.
          Bahkan kini, fungsi bidang pertanian ternyata telah berubah. Bidang pertanian dilihat sebagai perniagaan yang berpotensi memberi prospek besar kepada seluruh penduduk Malaysia, membantu merapatkan jurang sosial ekonomi dalam masyarakat serta turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
          Tiga Dasar Pertanian Negara telah digubal untuk memajukan bidang pertanian bermula dari tahun 1984. Dasar Pertanian Negara Pertama (1984 – 1991) yang memberi penekanan untuk membangunkan bidang pertanian yang berorientasikan eksport; Dasar Pertanian Negara Kedua (1992 – 1997) pula memberikan penekanan kepada peningkatan produktiviti, kecekapan dan persaingan. Manakala dasar yang terakhir iaitu Dasar Pertanian Negara Ketiga (1998 – 2010) untuk meningkatkan daya saing bidang pertanian berikutan liberalisasi perdagangan antarabangsa. 

          Pelaksanaan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) membuktikan bidang pertanian menjadi semakin penting dalam menghadapi keadaan dunia perdagangan berikutan proses globalisasi dan liberalisasi pasaran. Oleh yang demikian, bidang pertanian bukan lagi industri yang malap, sebaliknya ia mempunyai banyak potensi jika diceburi secara giat oleh pihak swasta dalam projek-projek pengeluaran bahan makanan seperti yang digariskan di bawah Dasar Pertanian Negara Ketiga. Banyak peluang yang boleh diambil oleh pihak swasta selain untuk mengurangkan penggantungan kepada bahan makanan import.
          Lantaran itu,Kerajaan juga telah merancang untuk menjadikan bidang ini sebagai enjin ketiga pertumbuhan ekonomi dengan memperluaskan tanggungjawab Kementerian Pertanian untuk merangkumi bidang industri asas tani yang boleh disertai oleh industri kecil dan sederhana terutamanya dalam bidang-bidang tambah nilai yang baru.
          Selain itu, bidang pertanian jugadilihat berpotensi tinggi untuk meneroka pasaran antarabangsa kerana hasil keluarannya mempunyai kualiti dan nilai yang tinggi setanding dengan negara-negara pertanian yang maju pada masa kini. Pada tahun 2010, nilai pengeluaran kasar daripada Banci Ekonomi 2011 untuk bidang pertanian adalah sub-sektor tanaman dengan RM37,276 juta, diikuti perhutanan dan pembalakan (RM8111 juta), ternakan (RM6592 juta) dan akhir sekali perikanan (RM1474 juta).
          Seterusnya bidang ini juga berpotensi mengeluarkan produk yang bermutu tinggi untuk dipasarkan di pasaran tempatan dan antarabangsa. Bagi memenuhi permintaan pasaran terhadap makanan yang selamat dan berkualiti, beberapa tindakan seperti menepati piawaian-piawaian antarabangsa serta pelabelan, penggredan dan pembungkusan yang boleh diterima di pasaran antarabangsa perlu dilaksanakan.
          Oleh itu, kerajaan telah memperkenalkan MyGAP (Malaysian Good Agricultural Practices) yang telah dilancarkan oleh YB Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pada 28 Ogos 2013. MyGAP adalah penjenamaan semula Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SLAM), Skim Amalan Ladang ternakan (SALT) dan Skim Pensijilan Ladang Akuakultur Malaysia (SPLAM) di mana ianya lebih komprehensif untuk sektor pertanian, akuakultur dan ternakan.
          Antara kepentingan dan faedah Pensijilan MyGAP untuk bidang pertanian adalah bagi menghasilkan produk pertanian yang berkualiti, selamat dimakan, mengurangkan pencemaran alam sekitar serta membantu membangunkan industri pertanian negara yang mesra alam dan lestari. Selain itu, ia juga akan membantu dan memudahkan laluan pasaran eksport memandangkan Good Agricultural Practise (GAP) telah dikenali di seluruh duniadan lebih komersial serta tidak mengelirukan pengguna dan pengusaha berbanding SALM, SPLAM dan SALT.
          Pengeluaran pertanian yang dihasilkan juga perlu menepati dan menitikberatkan aspek-aspek kualiti dan keselamatan kerana dengan cara ini usahawan atau pengusaha pertanian berpotensi mendapat jaminan di dalam pasaran tempatan dan luar negara, memperoleh harga yang lebih tinggi serta memperoleh keuntungan dan pendapatan yang lebih baik dan lumayan.
          Daya saing pengeluaran pertanian negara boleh dipertingkatkan lagi dan bertahan dengan lebih lama sekiranya semua usahawan dan pengusaha pertanian mengamalkan pendekatan seperti yang dinyatakan. Di samping itu, semua jabatan dan agensi yang terlibat perlu memantau terhadap program jaminan kualiti yang telah dilaksanakan agar usahawan dan pengusaha pertanian memahami langkah-langkah yang perlu dipatuhi secara berterusan. Hal ini dapat membantu meningkatkan potensi serta mengekalkan kualiti dan keselamatan pengeluaran hasil dan produk mereka.
4.0    CABARAN DAN HALANGAN BIDANG PERNIAGAAN BERASASKAN PERTANIAN
          Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan cabaran sebagai sesuatu unsur atau faktor bagi menguji kemampuan dan ketabahan seseorang atau sesuatu organisasi. Oleh itu, secara ringkasnya, dapatlah dikatakan setiap yang dilakukan oleh seseorang, sesebuah organisasi atau pertubuhan yang dibina itu pasti ada sesuatu cabaran atau halangan yang akan dihadapi bagi mencapai maksud sebenar tujuan penubuhannya itu.
Di dalam mengemukakan cadangan bagi memantapkan lagi bidang perniagaan yang berasaskan pertanian ini aspek kekurangan modal atau dana adalah merupakan cabaran utama yang perlu dihadapi oleh mereka yang bergelar usahawan atau pengusaha pertanian. Bagi memulakan sesuatu perniagaan, umum mengetahui, aspek modal menjadi pemangkin utama di dalam memastikan kejayaan atau nasib sesebuah kegiatan atau bidang yang diceburi sama ada dapat bertahan lama atau tidak pada masa akan datang. Secara amnya, pelaburan modal yang dibuat oleh mereka yang menceburi ke dalam bidang perniagaan ini adalah sangat penting di dalam memastikan kelancaran perniagaan dapat berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan sehingga ke akhirnya.
Seterusnya, di dalam menelusuri era yang menuju kemodenan dan globalisasi yang menjadikan dunia tanpa sempadan ini, terdapat juga rakyat Malaysia yang masih lagi terpalit dengan isu-isu integriti dan akauntabiliti yang boleh meranapkan peradaban bangsa. Ini adalah dikenali sebagai gejala rasuah yang dilihat semakin berleluasa di dalam sesebuah negara yang membangun dan Malaysia juga tidak terlepas daripadanya. Tanpa disedari gejala rasuah ini telah merebak sehingga ke serata bidang dan kegiatan yang menjadi mata pencarian utama negara kita secara umumnya.
Gejala rasuah ini umumnya, bukan sahaja melibatkan syarikat-syarikat korporat yang besar yang sudah menempa nama di persada ekonomi antarabangsa semata-mata, malah juga mampu memusnahkan perniagaan dan perusahaan kecil-kecilan seperti dalam bidang pertanianini. Bahkan, gejala rasuah ini jugamampu untuk memberi kesan yang buruk kepada individu yang terlibat samaada menerima atau memberi rasuah sekali gus merencatkan sistem di dalam pengurusan perniagaan dan perusahaan itu sendiri daripada terus bertapak di dalam ekonomi Malaysia. Situasi ini turut menjadi penyumbang cabaran kepada usahawan dan pengusaha pertanian pada masa kini sama ada yang masih baru atau yang sudah lama bertapak dalam bidang perniagaan yang berasaskan pertanian umumnya.
Antara cabaran lain yang dilihat menjadi penghalang bagi bidang perniagaan berasaskan pertanian ini adalah masalah tenaga kerja. Kebanyakan generasi muda pada hari ini kurang berminat untuk bekerja sebagai petani atau menceburkan diri dalam bidang ini kerana menganggap skop kerja ini terlalu berat dan pulangan serta imbuhan yang diperoleh sedikit dan kurang lumayan.
Malahan golongan muda ini juga lebih gemar menetap di bandar berbanding di kampung atau kawasan pedalaman kerana mereka menganggap di bandar lebih mudah untuk mendapatkan dan memilih pekerjaan terutamanya dalam bidang perindustrian. Ini boleh dilihat, rata-rata pemilik pengusaha danpekerja di ladangpada hari ini adalah mereka yang berusia dalam lingkungan 40 tahun hingga 70 tahun.
Oleh yang demikian, sektor ekonomi desa yang merangkumi pertanian dan bukan pertanian berdepan dengan cabaran dan memerlukan transformasi bagi meningkatkan sumbangannya dalam menyokong aspirasi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020. Hal ini menjadi cabaran kepada negara untuk menarik dan meningkatkan penglibatan golongan belia luar bandar dalam aktiviti ekonomi yang mampu menjana pendapatan ekonomi negara serta untuk merealisasikan matlamat yang telah ditetapkan.
Selain itu, serangan pelbagai penyakit dan serangga perosak juga menjadi cabaran yang perlu dihadapi oleh golongan usahawan atau pengusaha yang menjalankan bidang perniagaan berasaskan pertanian. Terdapat pelbagai jenis serangga perosak dan penyakit kepada tanaman dan ternakan sehingga boleh menyebabkan kerugian besar. Ini akan menyebabkan hasil pengeluaran menjadi kurang dan kos penggunaan racun pula meningkat.
Langkah dan usaha bagi memajukan bidang pertanian perlu dibuat secara berterusan, komersial, berskala besar dan menggunakan teknologi moden yang terkini. Penggunaan teknologi moden secara meluas mampu menyumbang kepada peningkatan hasil pengeluaran dan kualiti komoditi pertanian serta menjamin hasil dan pendapatan yang lumayan.
5.0    SOKONGAN DAN BANTUAN KERAJAAN KEPADA PERNIAGAAN           BERASASKAN PERTANIAN
          Sejajar dengan ikrar Kerajaan untuk membantu dan memberi sokongan terhadap bidang pertanian, Bajet 2017 yang akan datang memperuntukkan sejumlah RM1.3 bilionkepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk meningkatkan pengeluaran makanan dengan harga yang kompetitif. Ini membuktikan komitmen kerajaanmentransformasikan sektor makanan agar terus berdaya saing. 
          Peruntukan ini juga meliputi Pembangunan Infrastruktur Pertanian sekali gus memperkukuhkan lagi dan memberi keutamaan bidang pertanian, dalam usaha meningkatkan dan menjamin bekalan makanan negara. Selain itu, sejumlah RM1.3 bilion juga telah disediakan untuk diberikan subsidi harga benih dan baja supaya bantuan dapat disalurkan kepada golongan pesawah agar pengeluaran padi negara dapat diperkukuhkan lagi.

          Selain itu, Bajet 2017 juga meneruskan Program Pembangunan Agropreneur Muda (Usahawan Pertanian) dengan memperuntukkan RM100 juta dikhususkan untuk program ini. Penglibatan golongan ini dikenal pasti sebagai komponen utama Dasar Agromakanan Negara (DAN), yang berperanan untuk meningkatkan pengeluaran hasil pertanian serta membantu menjana pendapatan tinggi bagi golongan petani. Bajet 2017 juga akan memberi penekanan terhadap pembangunan luar bandar dan pembangunan keusahawanan yang sangat dinamik. Ini dapat dilihat apabila pelbagai peruntukan yang bakal disediakan untuk meningkatkan infrastruktur dan menaik taraf, serta pelbagai insentif bakal diberikan untuk kemudahan pembiayaan dan juga kemudahan modal insan.
          Tanggapan terhadap bidang pertanian bukan kerjaya pilihan generasi muda pada hari ini ternyata sudah ketinggalan zaman kerana realitinya semakin ramai golongan itu menceburi bidang pertanian. Perkara ini terbukti apabila lulusan tinggi dalam bidang pertanian terus meningkatkan pada setiap tahun. Peningkatan pelajar ini adalah hasil dan sokongan daripada langkah kerajaan menubuhkan Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC) yang melaksanakan Program Latihan Kemahiran Pertanian Kebangsaan (PLKPK).
          Tujuan pelaksanaan program ini adalah untuk menggalakkan generasi muda melibatkan diri dalam bidang pertanian sebagai pekerja mahir dan pengusaha pertanian bertaraf komersial dan berskala besar melalui penggunaan teknologi terkini bagi meningkatkan kualiti dan produktiviti bidang pertanian negara. Program yang dijalankan adalah berteraskan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SPKP) atau National Occupational Skills Standard (NOSS). Latihan yang disampaikan adalah berasaskan kompetensi kemahiran dan memfokuskan kepada latihan amali, projek dan simulasi. Program ini juga menjadi platform kepada generasi muda untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
          Kerajaan juga menyalurkan bantuan dengan membiayai sepenuhnya kos pengajian termasuk penginapan, makan dan minum. Pelatih hanya perlu menanggung yuran pendaftaran sebanyak RM330 untuk bayaran premium insurans, setem hasil surat perjanjian, baju korporat, deposit asrama dan pembukaan akaun Agrobank.Pelatih turut diberikan elaun sara hidup sebanyak RM200/bulan untuk Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan RM250/bulan untuk Diploma Kemahiran Malaysia (DKM). Manakala elaun bagi Latihan Industri adalah RM300/bulan.
          Selain daripada itu, Kerajaan juga telah memperkenalkan Program My Kampung My Future (MKMF) – Kampung Ku Masa Depan Ku dengan menggunakan pendekatan National Blue Ocean Strategy (NBOS) di bawah skop Transformasi Komuniti. MKMF adalah satu inisiatif kerajaan yang bertujuan untuk meningkatkan pembabitan golongan belia di kawasan luar bandar yang terlibat dengan aktiviti ekonomi kerana ia mampu menjana pendapatan dan ekonomi negara.
          Kerjasama erat turut dijalinkan dengan pelbagai agensi kerajaan seperti Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat, 1Malaysia For Youth (1M4U) serta kepimpinan tempatan yang terdiri daripada Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dan Persatuan-persatuan belia tempatan yang memainkan peranan paling besar dalam membangunkan sendiri kampung mereka.
          Pada hari ini, kerajaan amat menggalakkan penyertaan segenap lapisan masyarakat dalam pembangunan ekonomi dan menyediakan struktur sokongan yang berupaya membantu golongan para usahawan dalam menceburkan diri dalam bidang ini. Sebagai contoh, bagi golongan yang mengusahakan perniagaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang berasaskan pertanian, Kerajaanmenawarkan pelbagai bentuk bantuan pembiayaan kepada pengusaha IKS. Bantuan ini disalurkan melalui agensi-agensi bertanggungjawab dan juga melalui institusi-institusi kewangan.
          Pelbagai program latihan dan pembangunan telah disediakankepada usahawan dan pengusaha yang berminat mengusahakan aktiviti IKS ini. Antaranya adalah Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC) iaitu salah satu agensi Kerajaan utama yang bertanggungjawab menyelaras pembangunan IKS. Selain menawarkan khidmat nasihat berkaitan pembangunan industri, agensi ini juga menyediakan program latihan dan pembangunan untuk orang ramai dan pengusaha IKS.
          Kerajaan juga turut bekerjasama dengan pelbagai agensi lain yang dapat membantu meningkatkan kemajuan bidang pertanian seperti Lembaga Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang telah membuktikan keberkesanan peranan mereka kepada bidang pertanian di Malaysia pada hari ini.
6.0    KESIMPULAN
          Kesimpulannya, perniagaan yang berasaskan pertanian ini memungkinkan Malaysia umumnya akan mencapai sesuatu kepesatan pada masa yang akan datang. Hal ini kerana, bidang ini mampu menjana pulangan dan hasil yang lumayan kepada kepesatan ekonomi negara bagi mencapai tahap negara maju yang membangun kelak setanding dengan negara-negara barat yang lain.
          Bagi mencapai objektif dan matlamat Wawasan 2020, bidang pertanian perlulah bergerak seiring dengan sektor-sektor ekonomi yang lain di mana penekanan dalam aspek peningkatan produktiviti, penghasilan kualiti yang tinggi daripada penggunaan teknologi moden dan proses penyelidikan R&D yang mantap ditekankan dan diperluaskan untuk mewujudkan bidang pertanian yang matang, maju, berdaya tahan dan berdaya saing.
          Bahkan, transformasi pertanian juga perlu dilaksanakan bagi membawa pembaharuan dalam bidang pertanian negara supaya menjadi lebih kompetitif, moden, dinamik, menguntungkan dan dapat sekali gus dapat menyumbang kepada keluaran negara kasar. Selain itu, industri pertanian juga perlu kembali menjadi penjana kepada pertumbuhan ekonomi negara dan mencipta peluang pekerjaan kepada sebilangan besar rakyat negara ini.
          Dengan langkah-langkah yang sedang diambil oleh pihak Kerajaan dan Kementerian Pertanian, kita yakin negara ini dapat mengeluarkan makanan sendiri seperti sektor-sektor yang lain. Usaha ini dapat mempertingkatkan imej bidang pertanian dan melenyapkan tanggapan negatif terhadap bidang ini, sekali gus mampu meletakkan dan menaikkan nama Malaysia sebagai pengeksport hasil-hasil pertanian dan makanan tropika di dunia. Komitmen kerajaan dalam membantu golongan dalam bidang pertanian ini sebenarnya mendasari usaha-usaha yang dilaksanakan demi kesejahteraan bersama.

7.0    RUJUKAN

Buku
Ahmad Idriss. (1998). Dasar Ekonomi Baru. Selangor: IBS Buku Sdn. Bhd.
Dasar-dasar Pembangunan Malaysia. (1992). Kuala Lumpur: Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) Malaysia.

Hasnah Ali. (1991). Ekonomi Wilayah Teori dan Amalan. Kuala Lumpur: Dewan             Bahasa dan Pustaka.

Malaysia Kita. Panduan dan Rujukan untuk Peperiksaan Am Kerajaan. (2004). Kuala Lumpur: International Law Book Services.

Nik Hashim Mustapha, Zulkifly Osman. (1989). Dasar Ekonomi Malaysia. Selangor:       Universiti Kebangsaan Malaysia.

Internet
Aziz Abdul Majid, Ab. Latif Ibrahim, Norizan Md. Nor, Hassan Naziri Khalid. (2003). Pertanian Mapan: Cabaran dan Strategi Pembangunan dalam Sektor Pertanian di Negeri Perlis. 277-285. Dimuat turun pada 24 November 2016, dari http://eprints.utm.my

Bajet 2016: Peruntukan RM5.3 bilion Rancakkan Industri Pertanian. Dimuat turun pada 25 November 2016 dari, http://www.astroawani.com

Bajet Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani 2017. Dimuat turun pada 26 November 2016, dari http://www.moa.gov.my

Fungsi dan Objektif Jabatan Pertanian. Dimuat turun pada 25 November 2016, dari http://www.doa.gov.my

Nur Izzah Manan. (2008). Kepentingan Sains dan Teknologi kepada Industri Pertanian. Dimuat turun pada 24 November 2016, dari http://pmr.penerangan.gov.my

Pertanian. Dimuat turun pada 23 November 2016, dari https://ms.wikipedia.org


Portal Rasmi Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani. Dimuat turun pada 23 November 2016, dari http://www.moa.gov.my
Powered by Blogger.